Sunday, March 1, 2009

Kepelbagaian Budaya di Malaysia - India

Kaum India

Pakaian Tradisional

Pakaian tradisional kaum India pula lazimnya dhoti dan sari. Dhoti merupakan pakaian putih yang dipakai oleh kaum lelaki. Kaum wanita pula memakai sari, iaitu sehelai kain panjang yang dililit mengelilingi badannya.


Perkahwinan

Kad jemputan memainkan peranan yang sangat penting dalam perkahwinan masyarakat India. Sekiranya terdapat kesalahan pada kad jemputan, maka perkahwinan tidak akan berjalan dengan lancar. Kad jemputan yang telah dicetak disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian. Seterusnya, penyediaan thaali dilakukan sebagai lambang suci perkahwinan yang dikalungkan pada leher kedua-dua pengantin. Selepas itu, upacara bersembahyang dilakukan. Dalam upacara itu bubur manis dan nasi manis disediakan termasuklah dhoti dan sari untuk pasangan pengantin. Lima hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan, upacara Mukuurtta Kaal dilakukan. Sebatang pokok yang masih muda dan lurus ditebang untuk dijadikan mukuurtta kaal. Adat mendirikan mukuurtta kaal adalah sebagai menandakan perkahwinan akan dilangsungkan di rumah tersebut.

Semasa perkahwinan berlangsung, pelbagai upacara yang akan dijalankan. Upacara penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan antara pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir hayat akan dilakukan oleh Pedanda. Majlis perkahwinan dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Selepas itu, pengantin lelaki akan mengalungkan thaali. Antara adat-adat lain yang turut dijalankan semasa upacara perkahwinan termasuklah menghormati dan mendapat restu termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian atasnya, menuang air susu ke dalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki ibu bapa (membasuh kaki ibu bapa), memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang.

Selepas upacara perkahwinan, pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri. Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Pada masa itu ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin dengan mengadakan jamuan.

Perayaan

Masyarakat India lazimnya meraikan perayaan Deepavali dan merupakan hari cuti di Malaysia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.

Menurut lagenda, Raja Naragasuri yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasuri meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia.

Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali.

(Dipetik daripada: ms.wikipedia.org/wiki/Deepavali)

No comments:

Post a Comment